Tuesday 19 April 2011

Di pagi hari begini, aku terlintas untuk sekali lagi post berkaitan solat jemaah. Niat untuk menulis berkaitan solat berjemaah sekali lagi ini hadir setelah mendengar kuliah subuh di Masjid Kolej Islam Malaya seusai solat subuh pagi tadi. Seseungguhnya, betapa pentingnya solat berjemaah di masjid bagi kaum yang sama waktu denganku, kaum Adam.



Aku tertarik dengan satu quote yang dibacakan daripada kitab Nasihat Agama Wasiat Iman oleh pengkuliah, “Barangsiapa yang memandang sepi terhadap urusan akhirat yang dianjurkan oleh agama, maka sesungguhnya sangat nipis cintanya terhadap agama. Tidakkah dia takut tergolong di dalam golongan munafiq di sisi Allah? Ataupun tergolong dlm kalangan mereka yang mengesyaki janji2 Allah?” Sama sama kita renungkan. Malas nak ulas hurai panjang lebar. Nanti bosan pulak.

Kata pengkuliah lagi, sesungguhnya telah biasa dilihat pada zaman Rasulullah, orang-orang tua dipapah masuk kedalam saf, atau dalam kata lainnya, orang-orang tua dipapah kemasjid untuk solat berjemaah. Ini melihatkan betapa tingginya azam, semangat dan tekad mereka untuk berjemaah di masjid. Sanggup bersusah payah walaupun terpaksa dipapah semata mata untuk solat berjemaah di masjid. Lalu bagaimana dengan kita yang masih muda, kuat dan bertenaga? Tidak malukah kita? Tidak segankah kita kepada mereka? Nabi SAW sendiri tidak pernah dilihat solat fardhu bersendirian. Jikalau Nabi SAW sendiri yang telah dijamin syurga oleh Allah tidak pernah meninggalkan solat jemaah, lalu di manakah sepatutnya kita?

Pernah diceritakan di dalam sebuah hadis, seorang sahabat, Abdullah ibn Ummi Maktum, seorang yang buta mengadu kepada Rasulullah bahawa rumahnya jauh daripada masjid. Lalu dia meminta Rasulullah membenarkan dia solat dirumah. Rasulullah kemudiannya bertanya, adakah kamu mendengar muazzin melaungkan azan? Dia menjawab ya. Lalu Rasulullah memerintahkan sahabat ini solat di masjid. Jikalau seorang buta yang rumahnya jauh dari masjid diarahkan untuk solat di masjid, lalu dimanakah level kita yang celik mata, dan kediaman berhampiran dengan masjid, bak kata orang Kelantan, kalu huje di masjid, tirih dio sapa ko kito. Adakah kita masih mempunyai hak untuk tidak solat di masjid?

Sabda Rasulullah SAW :  لا صلاة لجار المسجد إلا في المسجد
Mafhumnya : Tiada solat bagi orang yang berjiran di masjid kecuali di masjid.

Walaupun hadis ini dihukum dhaif dan lemah oleh sebahagian besar ulama Muhaddisin, contohnya Imam Bukhari mengatakan di dalam jalur periwayatan hadis ini terdapat rawi yang lemah, maka beliau menghukum hadis ini dhaif, namun kita tidak sepatutnya menolak terus hadis ini. Hadis ini sepatutnya menjadi pemangkin motivasi kita untuk sentiasa solat berjemaah di masjid.

Cuba fikir antara 5x1=5 dan 5x27=135, yang mana satu yang kita inginkan? 5 merujuk kepada 5 kali solat dalam sehari, 1 merujuk kepada 1 pahala bagi orang yang solat bersendirian manakala 27 merujuk kepada 27 pahala bagi orang yang solat berjemaah. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW : Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Didalam hadis lain, Rasulullah bersabda : Barangsiapa yang mendengar azan dengan jelas, dan dia sihat, lalu dia tidak solat di masjid, maka tiada solat baginya.

Perlu diketahui bahawa kelonggaran untuk tidak solat berjemaah di masjid hanyalah diberikan kepada mereka yang uzur, sakit atau mempunyai halangan yang sukar ditempuh sepanjang perjalanan ke masjid seperti hujan lebat, ribut petir, terdapat binatang buas di tengah jalan dan perkara yang sewaktu dengannya.  Semoga Allah SWT berkenan untuk memberi hidayah kepada kita. Sesungguhnya hidayah Allah itu sangat mahal harganya. Maka beruntunglah sesiapa yang mendapatnya.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Qasas ayat 56 :
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

Akhir kata, kita marah orang KAFIR yang meruntuhkan MASJID, tetapi kita tidak marah DIRI KITA yang mengosongkan MASJID!! AYUH KE MASJID.. HIDUPKAN SOLAT JAMAAH..

Wallahu A’lam

Sorotan Huraian Kita Nasihat Agama Wasiat Iman oleh Ustaz Dato’ Mohd Mokktar Shafii
Kuliah Subuh 20 April 2011, Masjid Kolej Islam Malaya, Seksyen 17, Petaling Jaya
+ sebahagiannya di edit dan di nukil sendiri

Masjid Kolej Islam Malaya, mempunyai kubah yang unik


p/s Maaf kerana hadis yang di berikan tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana hadis-hadis tersebut didengari di dalam kuliah Subuh seperti yang dinyatakan. Cuma hadis yang ada disebut riwayat Bukhari dan Muslim itu insyaAllah sahih.



0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!