Sunday, 22 May 2011

Kembali lagi. Alhamdulillah. Jari jemari masih mampu menaip lagi. Mata masih mampu pejam celik. Darah masih mengalir di dalam pembuluhnya. Hari ini ada, tapi esok belum pasti. Okey, cukup. Tiba-tiba aku rasa nak share sangat-sangat dengan penuh semangat dan keramat beberapa kisah yang aku baça dalam sebuah buku.

Three, four.. Action..

KISAH MENARIK
Syukur Alhamdulillah, persahabatan saya dengan Fatih dan rakan-rakan yang lain memberi peluang kepada kami untuk belajar banyak perkara baru. Seperkara tentang orang Turki yang menarik perhatian saya ialah sikap mereka terhadap perkara-perkara yang remeh dan halus. Kadang-kadang pada kita, hal seperti ini tidak mempunyai sebarang signifikasi, tetapi bagi orang Turki, mereka cukup mengambil berat mengenainya.

Istanbul
TERTIB ORANG ISTANBUL
Saya masih ingat, semasa bertandang ke rumah Mahmud Balici, rakan baik saya semas adi Jordan. Beliau merupakan pelajar Turki yang disegani oleh rakan-rakan Turki yang lain di Amman. Saya bertandang ke rumah Mahmud di Draman. Ia tidak jauh dari Masjid Ismail Aga Camii di Istanbul. Malam itu sebelum kami melelapkan mata, saya meminta segelas air masak untuk membasahkan tekak. Mahmud mengambil cawan yang tersimpan di rak pinggan, membasuhnya terlebih dahulu sebelum diisi dengan air yang diminta.

Saya kagum dengan ketelitian Mahmud. Kalau saya, mungkin cawan yang sudah sedia bersih itu akan terus diisi dengan air masak. Tetapi Mahmud membilasnya dengan air terlebih dahulu sebelum diisi dengan air masak. Orang Turki memang pembersih.

Air masak, sangat bagus untuk kesihatan

 Saya juga selalu melihat tong sampah di lokais pembuangan sampah di Istanbul diberus dan dibersihkan oleh pekerja Istanbul Buyuksehir Belediyesi (Dewan Kota Metropolitan Istanbul) dengan berus dan air. Wah, tong sampah pun mesti bersih dan kemas.

Kebersihan rumah kawan-kawan Turki juga sentiasa mengagumkan saya. Walaupun ada dikalangan mereka yang merokok, rumah bujang perokok mereka juga masih bersih. Buku-buku tersusun rapi, pakaian elok terletak, malah bilik mandi dan tandas juga tidak pernah bercampur. Kebanyakan rumah di Istanbul, mempunyai sekurang-kurangnya dua bilik air. Satu digunakan untuk mandi manda dan satu lagi dikhususkan untuk buang air. Bilik mandi pula lazimnya berkarpet dan saya belajar untuk mandi dan berwuduk tanpa membasahkan karpet itu. Hmm, agaknya kalau ada orang Turki yang bergaduh laki bini, tidur dalam bilik air pun okey jugak.

Saya kira, kebersihan yang terbit daripada íman, memang benar-benar dapat dirasakan di Turki.


 MEHMET VS MUHAMMAD
Soal orang Turki yang teliti dengan perkara-perkara yang halus ini, mengingatkan juga saya kepada perbualan bersama Cik Mehmet, ayah Fatih, semasa kami bercuti di Bolvadin.

“Pak cik, saya ingin bertanya sesuat tentang nama pak cik. Bolehkan?”

“Tentu saja, nak. Tanyalah. Kenapa pula dengan nama pak cik?” Ayah Fatih sedikit terkejut dengan permintaan saya.

“Saya terfikir, orang Turki ramai yang bernama Mehmet seperti pak cik. Saya kira, Mehmet itu bermaksud Muhammad, kan?”

“Betul, Mehmet bermaksud Muhammad.  Kenapa?”

“Jika Nabi kita, nama baginda disebut Muhammad. Hazreti Peygamber Muhammed. Mengapa nama Rasulullah disebut Muhammad sedangkan nama pak cik disebut Mehmet?” Saya cuba mencari penjelasan yang sebenar.

“Oh, itu rupanya soalan kamu. Setahu pak ciklah, nama Muhammad itu kami khususkan hanya pada baginda Rasulullah SAW. Bukan apa. Kalau kami namakan anak-anak kami sebagai Muhammad, nanti kalau mereka buat hal, tercemar pula nama Rasulullah.” Kata Pak Cik Mehmet.

“Tercemar maçam mana tu?” Saya kurang faham apa yang dimaksudkan.

“Bayangkan kalau si Fatih ni pak cik namakan Muhammad. Tiba-tiba dia mencuri buah epal jiran sebelah. Nanti apa kata orang kampung ? Isy, jahat sungguh Muhammad tu. Curi epal jiran! Hah, kan tak elok, perbuatan mencuri dinisbahkan kepada nama semulia Muhammad. Pak Cik Mehmet begitu bersemangat bercerita kepada saya.

Terlopong saya dibuatnya!

Begitu sekali mereka mengambil kira soal ‘sekecil ini’. Maka amat tidak benarlah apa yang pernah ditulis oleh seorang penulis di dalam akhbar di tanah air. Sekembalinya beliau dari lawatan di Turki, beliau menulis dan menyentuh secara khusus isu nama Mehmet ini. Katanya, orang Turki sudah terlampau sekular sehingga hendak menyebut nama Rasulullah pun sudah tidak mampu. Sudah pelat, katanya.

Walhal pemikiran penulis itu yang pelat. Menafsirkan budaya orang lain dengan pandangan sendiri. Mujur artikelnya dalam bahasa Melayu. Kalau dibaca oleh orang Turki, tentu tersinggung hati mereka dengan persepsi kita seperti itu.

PELAJARAN DARI SERBUK ROTI
Ayam sudah siap terhidang.

“Fatih, Islam, Hasan, Faruk, Osman, marilah makan.” Saya menjerit memanggil mereka yang khusyuk di meja bacaan masing-masing. Maklumlah, musim peperiksaan.

Setiap kali makan, kami akan membentangkan dua keping surat khabar lama. Tujuannya supaya sisa makanan tidak jatuh ke karpet. Akan tetapi, malam itu perhatian saya terpaut kepada tindak-tanduk rakan saya ketika makan, terutamanya Islam. Setiap kali beliau mematahkan roti, beliau akan melakukannya di atas mangkuk nasi. Seandainya masih ada serbuk-serbuk dari kulit  roti itu bertaburan di atas lapik, Islam akan mengumpulkannya untuk dimakan. Tidak ada langsung sisa makan yang terbuang. 

“Islam, saya suka tengok cara awak makan. Tidak ada yang tersisa langsung. Berkat, berkat…!”, saya memuji Islam.

“Betul. Ia soal keberkatan. Walaupun macam-macam yang kita makan,kita tidak tahu pada bahagian mana makanan kita yang Allah pilih sebagai asbab untuk-Nya menurunkan barakah”, kata Islam. 

Ya, apa yang Islam katakan itu memang benar. Ia mengingatkan saya kepada sepotong hadith Nabi SAW:
Dari Jabir, beliau mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Apabila sesiapa dari kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari tangan, maka bersihkanlah habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah dia memakannya. Jangan tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah dibersihkan tanganmu dengan kain pengelap sehingga dia telah menjilat (jari-jari)nya. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah makanannya yang diberkati Allah” 

Islam telah mengingatkan saya kepada pelajaran yang amat berharga. Pakcik Mehmet juga telah mengingatkan saya tentang ilmu yang berguna. Jangan pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan kebaikan. Penilainya adalah Tuhan, Allah yang menilai amal pada harga sebuah iman. Jangan tangguhkan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang amal yang besar. 
Itu di Turki.

TERTIB MAK ANJANG DI LONDON

Hal ini juga mengingatkan saya kepada peristiwa semasa saya berjamu makan di rumah Pak Anjang saya di Baker Street, London. Pagi itu, kebetulan Pak Ngah sekeluarga datang dari Malaysia. Maka kami semua berkumpul di rumah Pak Anjang. Rumah di Baker Street ini Pak Anjang belikan untuk anaknya, Ziad yang belajar di Westminster University, di seberang jalan.  

Saya amat kagum semasa melihat Mak Anjang memasak di dapur. Lebihan nasi malam tadi dikumpulkannya. Kemudian kerak nasi itu pula direndam di dalam air panas dan kemudian ditos. Semua bahagian nasi yang berlebihan malam tadi, Mak Anjang gunakan untuk memasak nasi gorengnya. Tidak ada bahagian makanan mana yang tersisa. Mungkin ini sebahagian daripada sikap Mak Anjang sekeluarga yang menjadi tangga mereka membina kehidupan yang berjaya. Walaupun sudah bertaraf jutawan, Mak Anjang dan Pak Anjang sekeluarga masih mengambil kira soal-soal kecil seperti kerak nasi di dapur.
Saya amat menghargai pelajaran itu. 

Marilah kita bersama-sama menghitung dan mengambil kira benda-benda kecil yang kita abaikan selama ini. Mungkin pada yang kecil halus itulah Allah menyentuh kehidupan kita dengan barakah.
Sebagaimana kebaikan yang kecil mungkin menjadi punca keberkatan Allah, maka berhati-hati jugalah dengan dosa-dosa yang kita anggap kecil. Ia menjadi punca murka Allah. Dalam setahun, mungkin seorang dua sahaja warga negara kita yang mati dibaham harimau. Namun, jumlah yang mati kerana gigitan seekor nyamuk, jauh berganda. Yang kecil jangan dipandang remeh, yang besar yang disangka segala-galanya. 

Jangan pandang kecil pada RM1 yang mahu didermakan kepada mustadh’afeen di Palestin! Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Jangan sangka derma dengan RM 1 saja tak ada guna


BEGITULAH KISAHNYA
Keseluruhan cerita yang aku share tadi aku petik dan ubahsuai daripada buku Secangkir Teh Pengubat Letih tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, bab 13 mukasurat 119-127. Buku yang dibeli semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 di PWTC ini memang banyak membuatkan aku berfikir mengenai kehidupan aku. Terlalu banyak kekurangannya. Serius buku ni best sangat-sangat. Bertemakan Travelog Tarbiyah, ia adalah naskhah yang merakam catatan kembara Ustaz Hasrizal, atau lebih dikenali dengan Saiful Islam (padahal tu nama anak dia) di bumi Khalifah Othmaniyyah, pada mengenal hati budi kenalan dan teman, yang sudah lama berkongsi persaudaraan atau yang baru disapa dipinggiran jalanan.

Serius best
Terbaik dari Abu Saif

 “Ada yang pergi ke Turki dapat pahala, ada yang pergi ke Turki dapat dosa.” Catatan kembara ini benar-benar membuatkan aku merenung kembali apa yang telah aku lalui dan lakukan selama diberi ruang dan peluang untuk bernafas di atas muka bumi Allah ini.

Rugi kalau korang tak baca. Serius aku cakap. Tak tipu langsung. RM 25 yang dibayar bagi senaskhah buku ini sangat berbaloi.

Sebelum berhenti menaip seterusnya shut down komputer, aku nak habaq yang aku sangat tertarik dengan satu peribahasa Turki.
Güneşte yanmayan gölgenin kıymetini bilmez”
“Orang yang tidak pernah dibakar panas mentari, mustahil menghargai rimbun berteduh.”

Sekian wassalam. Nite and nice dream!

1 comment:

  1. perh..nice

    Ust Hasrizal memang dah lama menambat hati daku. Penulisan dia betul membuka mata.

    ReplyDelete

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!