Friday 14 December 2012


Assalamualaikum.

Bertemu kembali di alam maya setelah sekian lama berpisah. Biasalah. Musim sibuk dan lapang silih datang berganti. Setelah sekian lama menyepi, kini terdetik untuk kembali menconteng di blog nie.

Apa yang aku nak kongsikan nie adalah sesuatu yang agak menarik bagi aku. Sebab aku aku semangat nak kongsi dengan korang semua. Dalam satu pertemuan dengan Ustaz Zaharuddin di Pejabat Urusan K-FIQH Sdn Bhd baru-baru nie, semasa sedang menunggu kedatangan ustaz, seorang Project Manager K-FIQH yang kami panggil Abg Syarief berkongsi sesuatu yang sangat bermakna.



Step Toward Happiness. Itulah yang ingin diperkatakan. Dalam sebuah kitab karya Dr Abdul Muhsin alQaasim, Imam dan Khatib Masjid Nabawi, beliau memberi beberapa langkah untuk kita mendapat kebahagian, happiness, saadah. Sudah semestinya wang ringgit dan kekayaan bukanlah sesuatu yang dapat memberi kebahagian kepada kita. Kita boleh tengok sendiri, berapa ramai golongan kaya raya tidak merasa bahagia dalam hidup mereka. Dan berapa ramai golongan miskin yang sentiasa bersyukur, berasa bahagia dan indahnya hidup ini.

Doa

Langkah pertama adalah doa. Sentiasalah berdoa. Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah kita di mana sahaja, pada bila-bila masa sahaja. Yang paling penting, doalah supaya hati kita sentiasa beriman kepada Allah. Kerana kita tak tahu apa yang akan berlaku in the future. Kisah-kisah seperti orang alim yang sangat patuh dan taat kepada suruhan Allah, disaat-saat akhir kehidupannya, Allah twist hati dia dan dia mati dalam kekufuran. Kisah-kisah seperti ini harus kita ambil pengajaran.

Jangan lupa juga doa untuk saudara-saudara kita di Gaza, yang mana hari-hari kehidup mereka disulami dengan air mata, darah dan letupan bom. Sedangkan kita di sini, hari-hari kita di sulami dengan gelak ketawa, keseronokan duniawi dan burger McDonalds. Mereka yang syahid, syurga sudah tentu untuk mereka. Sedangkan kita, bagaimana?

Sentiasalah mencari waktu-waktu mustajab berdoa. Rinduilah waktu-waktu ini. 2/3 malam. Antara dua khutbah. Dan waktu-waktu lain. Berdoa tak semestinya pada awal dan akhir tahun sahaja. Setiap masa. Aku ulang. Setiap masa. Setiap kali solat, berdoalah. Banyak perkara yang perlu kita mohon pada Pencipta kita.

Sabda Nabi SAW,
“Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : ‘Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sembunyikan amalan

Orang yang beriman sentiasa berusaha untuk menyembunikan amalan mereka. Kerana bimbang akan timbul rasa riak apabila orang melihat amalan mereka. Sungguh. Hati sangat susah untuk di jaga. Syaitan bila-bila sahaja boleh menyucuk jarum. Perbanyakkanlah qiyamullail dan puasa sunat. Kerana amalan-amalan seperti ini memang sudah sedia tersembunyi daripada pengetahuan ramai. Di saat orang dibuai mimpi indah, kita bangun bertahajjud. Sudah tentu tiada siapa yang tahu. Begitu juga dengan puasa. Melainkan kita declare “Aku puasa hari nie!!!”, tiada siapa yang akan tahu samada kita berpuasa atau tidak.

Begitu juga dengan solat sunat qabliah dan ba’diah. Nabi melakukan solat ini di rumah. Kerana dirumah, pasti ramai yang memerhati. Apabila ramai yang memerhati, syaitan sudah bersiap sedia dengan jarum beracunnya. “Wah, orang tengok aku solat sunat qabliah. Tambah 2 rakaat lagi la”. Syaitan oh syaitan. Hati oh hati. Benarlah kata orang, hati sangat susah untuk dijaga.

Melihat kepada amalan-amalan orang-orang soleh

Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” 
(Hadis riwayat Abu Daud).

Dalam satu hadis yang lain,
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud: “Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk”.

Oleh itu, kita kena pilih kawan yang baik. Supaya kita juga sentiasa terdorong untuk melakukan kebaikan seperti dia. Contohnya, jika kawan kita setiap hari solat di masjid, lama kelamaan kita juga akan mempunyai satu perasaan ingin solat di masjid juga. Bak kata orang, dakwah dengan perbuatan lebih berkesan daripada dakwah melalui lisan. Sentiasalah kita lihat apakah amalan orang-orang yang soleh dan baik, untuk kita tiru dan sentiasa amalkan dalam kehidupan.

Meremehkan amalan

Jangan fikir negative ye. Meremehkan amalan nie bukan bermaksud kita memperlekehkan amalan kebaikan. Sebaliknya, cuba kita fikir secara positif dan out of the box. Meremehkan amalan yang dimaksudkan adalah dengan tujuan kita jangan sesekali berpuas hati dengan amalan yang telah kita buat. “Aku dah puasa sunat minggu nie. Minggu depan tak payah la”. Buang mentaliti sebegini. Sebaliknya, “Aku rasa macam tak sempurna je puasa sunat minggu nie. Puasa sunat, tapi tak solat jemaah di masjid. Minggu depan kena puasa lagi dan solat Jemaah di masjid”. Buanglah mentaliti yang kolot, binalah mentality yang hebat. Dengan mentality begini, kita akan sentiasa berusaha untuk top-up amalan kita supaya lebih hebat daripada sebelumnya.

Bersambung....


1 comment:

  1. tumpang lalu....^_^
    bermakne entry nih...
    http://rafiq-icelemontea.blogspot.com/

    ReplyDelete

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!